Emas dan perak adalah merupakan logam galian yang berharga kurniaan
Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia
dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu.
Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu
kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Syariat juga telah mewajibkan
kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas
bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan.
Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.
Dalil Wajib Zakat
Firman Allah s.w.t:
“Dan
orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada
jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka
dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari
dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu
diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan
kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh
itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu” (Surah At-Taubah:
34-35)
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap pemilik emas dan perak
yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan
lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang
mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula
pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun
sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya
sama ada ke syurga atau ke neraka”.
(Hadis riwayat Abu Hurairah)
Kaedah Kiraan Zakat Emas & Perak
Emas Perhiasan Wanita
Emas
perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai
perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi
pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai
atau melebihi kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas
perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak
800 gram
* Kadar uruf emas berbeza mengikut negeri masing-masing.
Contoh:
Berat emas yang dipakai = 900 gram
Uruf emas = 800 gram
(Berat emas yang dipakai – Uruf emas) x harga semasa x 2.5%
100 gram x RM 110 = RM 11000 x 2.5% = RM 275
Emas Yang Disimpan
Bermaksud
emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan
samaada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan
sebagainya.
Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang
ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu
85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas
yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram
Contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5%
90 gram x RM 110 = RM 9900 x 2.5% = RM 247.50
Perak
Bagi
logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak
(disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah
berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah
sebanyak 595 gram atau lebih
Contoh:
800 gram perak x RM 2.00(segram) x 2.5% = RM 40
Sumber : www.e-zakat.com.my
No comments:
Post a Comment