MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan.
Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula
diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.
Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan
diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga
emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80
seauns sehari.
Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu
harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik
sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10
iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.
Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan
purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan
di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak
itu.
Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan
emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling
emas atau emas keping selain barang kemas.
Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun
harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas
bukannya sesuatu yang terkawal.
Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh
institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di
bank-bank seperti Maybank dan OUB.
Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi
pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan
harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.
Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.
Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama.
Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika
susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan
susut.
Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada
masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi
lebih lemah.
Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata
wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini.
Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya
atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan
segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.
Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi.
Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.
Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi
besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787
bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan
inflasi.
Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.
Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga
emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran
barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun
tetapi pada tahap minimum.
Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value.
Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion
(jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui
gold futures, options, waran atau sijil pelaburan.
Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti
bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange
Traded Fund).
Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di
Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika
Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini
dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.
Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus
daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk
ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.
Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya
kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika,
daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu
mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan
harga.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Sumber: ARKIB Utusan Online : 10/10/2009
No comments:
Post a Comment